Pengurusan Risiko
Adakah kewangan Islam menolak konsep pengurusan risiko?
Adakah pengurusan risiko suatu konsep yang asing dalam kewangan Islam? Sudah tentu tidak.
Apakah
itu pengurusan risiko? Secara ringkasnya, ia adalah proses bagi
mengenalpasti risiko, mengukur risiko, memantau risiko, melaporkan
mengenai risiko dan mengawal risiko. Tapi tunggu... mungkin ada yang
tidak tahu apakah itu risiko? Risiko adalah ketidakpastian dan
pendedahan pada ketidakpastian berkenaan.
Dengan
berpandukan definisi-definisi tersebut, jelaslah bahawa sesuatu sistem
kewangan tidak dapat beroperasi dengan berkesan dan cekap tanpa
kewujudan sistem pengurusan risiko yang mantap dan kuat, terutamanya
dalam dunia global masa kini, yang mana risiko sistemik bermain di minda
setiap orang, khususnya ketua pegawai eksekutif di institusi-institusi
kewangan yang besar, yang mempunyai pejabat di seluruh dunia.
Institusi
kewangan Islam beroperasi di alam nyata. Maka, sudah tentulah ia
terdedah pada risiko, dengan risiko-risiko utama yang dihadapinya adalah
risiko kredit, risiko pasaran dan risiko operasi. Risiko kredit
didefinisikan sebagai risiko yang berpunca daripada ketidakpastian,
iaitu sama ada pihak penghutang berkeinginan ataupun mempunyai kemampuan
untuk menjelaskan hutangnya ataupun tidak. Dalam model perniagaan
institusi kewangan Islam yang sedia ada, yang mana kebanyakan produk
mereka adalah berdasarkan kredit, mereka terdedah pada risiko kredit,
yakni sama seperti institusi kewangan konvensional. Walau bagaimanapun,
banyak pihak, terutamanya ahli akademik dan para ilmuwan berpandangan
bahawa model perniagaan yang diaplikasikan oleh institusi kewangan Islam
era kini tidak memenuhi syarat-syarat bagi perniagaan kewangan Islam
yang sebenar, yang dicirikan oleh perkongsian untung dan rugi, yang
menjana pertumbuhan ekonomi. Isu itu tidak akan dibincangkan dalam
artikel ini, tetapi dalam artikel-artikel yang akan datang.
Risiko
pasaran pula ditakrifkan sebagai risiko kewangan yang diakibatkan oleh
ketidakpastian dalam nilai sesuatu portfolio aset dan/atau liabiliti.
Institusi kewangan Islam terdedah pada risiko pasaran, terutamanya
apabila ia memberikan pembiayaan di bawah prinsip salam dan istisna’, atau murabahah sekalipun.
Turun naik harga komoditi merupakan risiko kerugian yang dihadapi
institusi kewangan Islam. Walau bagaimanapun, dalam hal ini, banyak
pihak yang berhujah bahawa dalam landskap perbankan Islam masakini,
bank-bank Islam tidak terdedah pada risiko pasaran yang berkaitan dengan
perdagangan komoditi. Ini disebabkan hak terhadap komoditi terbabit
tidak dipindahkan kepada mereka, seperti yang jelas terpapar dalam
pelaksanaan bai’ bithaman ajil.
Berkenaan
dengan risiko operasi pula, ia lazimnya dikaitkan dengan manusia,
teknologi dan operasi seharian. Risiko ini tidak hanya dialami oleh
institusi kewangan, tetapi juga oleh mana-mana entiti perniagaan.
Berbalik
kita pada persoalan asal, iaitu adakah kewangan Islam menolak konsep
pengurusan risiko? Jawapannya tidak. Ini dapat dibuktikan melalui
ayat-ayat Quran dan juga Sunnah Rasulullah s.a.w. yang sarat dengan
saranan supaya manusia menggunakan akal mereka untuk berjaya dalam dunia
yang penuh dengan ketidakpastian ini.
Dalam
Surah Yusuf, misalnya, kita diberitahu mengenai bagaimana Nabi Yusuf
a.s. mentafsir mimpi Raja Mesir, yakni Mesir akan berhadapan dengan
tujuh tahun kemarau selepas tujuh tahun yang penuh dengan kemakmuran.
Berdasarkan penafsiran itu, Nabi Yusuf a.s. kemudiannya mencadangkan
suatu pelan bagi menghadapi masa kritikal itu. Pelannya adalah supaya
penduduk Mesir menanam bahan makanan semasa tujuh tahun yang makmur itu
dan menyimpan sebahagian besar daripadanya. Ini adalah supaya mereka
akan siap siaga apabila kemarau melanda bagi tujuh tahun yang
berikutnya.
Nabi
Yusuf a.s. kemudiannya dilantik oleh Raja Mesir sebagai Menteri
Pertanian. Sebagai Menteri Pertanian, baginda melaksanakan pelan yang
dirangkanya itu. Hasilnya, Mesir dapat bertahan apabila kemarau melanda
dan berpanjangan selama tujuh tahun. Ini adalah bukti jelas pengurusan
risiko, iaitu risiko kelaparan dan kebuluran dikurangkan dengan menanam
bahan makanan dan menyimpan sebahagian besar daripadanya selama tujuh
tahun pertama, iaitu tahun-tahun yang makmur.
Sebuah lagi contoh adalah hadis yang seringkali digunakan oleh para penggiat industri takaful. Secara ringkasnya, hadis
itu berkisar mengenai seorang Arab Badwi yang bertanyakan pada
Rasulullah s.a.w. tentang mana yang lebih baik; meninggalkan untanya
tanpa diikat dan memohon agar Allah s.w.t. melindungi untanya ataupun
mengikat untanya. Rasulullah s.a.w. menyuruhnya mengikat untanya dan
kemudian barulah bertawakkal kepada Allah s.w.t.. Ini jelas menunjukkan
bahawa walaupun segala perkara ditentukan oleh Allah s.w.t., kita
haruslah sentiasa menggunakan minda kita untuk menentukan tindakan yang
terbaik bagi sesuatu situasi, dengan syarat tindakan itu adalah selaras
dengan kehendak Syariah. Dalam konteks pengurusan risiko, dalam kes ini,
risiko unta itu melarikan diri ataupun dicuri dikurangkan dengan
mengikatnya.
Daripada
bukti-bukti yang dijelaskan, sedarlah kita kini bahawa Islam tidak
menolak konsep pengurusan risiko, malah menggalakkannya bagi memastikan
kelangsungan kewujudan manusia sebagai khalifah di bumi Tuhan yang indah
ini.
-Al Baz Lee
No comments:
Post a Comment